‘Cantik’ adalah sifat benda/perkara
yang boleh didefinisikan sebagai ‘sedap mata memandang’ atau ‘indah’ atau
‘lawa’ mengikut apa yang dilihat (mata)/ didengar (telinga)/ dirasa (hati).
Contohnya, kalau orang yang cantik disebut juga ‘lawa’, kalau pemandangan yang
cantik, disebut ‘indah’. Begitu juga jika mendengar alunan muzik dan lirik yang
cantik, juga disebut indah. Semuanya ‘sedap mata memandang’.
Cantik yang didefinisikan dari
perspektif subjek (pelaku) dipanggil subjektif; penilaian berdasarkan
kecenderungan subjek (pelaku) yang melihat atau mendengar atau rasa. Sifat
subjektif ini cenderung kepada kualitatif (hanya boleh dinilai)
Sifat
objektif adalah lawan kepada sifat subjektif. Ia bermaksud penilaian
berdasarkan objek/perkara itu sendiri. Objektiviti biasanya cenderung kepada
kuantitatif atau boleh diukur. ‘Cantik’ biasanya tidak dikaitkan dengan ‘sifat
objektif’ kerana ia sifatnya tiada ukuran khusus.
Namun begitu, secara umumnya
apa yang dianggap ‘cantik’ disebabkan orang/perkara/benda tersebut tidak
mempunyai cacat cela baik dari segi fizikal mahupun fungsi. Pemahaman umum
begini biasanya bersifat objektif; penilaian berdasarkan dua ukuran, samada
tiada atau ada cacat cela. Dengan kata lain, cantik membayangkan sifat
kesempurnaan.
Lawan perkataan ‘cantik’
adalah ‘hodoh’. Secara objektifnya, apa yang dianggap tidak hodoh adalah
cantik. Sejauh mana kecantikan tersebut terpulang kepada yang menilainya.
Persepsi seseorang dalam
menilai ‘cantik’ bergantung kepada pengalaman/pendedahan, minat dan pengetahuan
sesorang itu. Persepsi ‘cantik’ di sesuatu tempat tidak sama dengan persepsi di
tempat lain. Atas dasar persepsi inilah timbul pepatah Inggeris yang berbunyi,
“beauty is in the eyes of beholder”.
Mengapa manusia mencari
kecantikan. Apa kecantikan sebenar?
Kecantikan boleh dilihat dari
dua sudut pandang atau perspektif. Pertama penampilan atau yang kelihatan
secara zahir. Kedua dalaman atau yang tidak kelihatan. Ia mudah untuk difahami
jika kita melihat contoh begini. Makanan yang kelihatan cantik, bau yang sedap
akan menarik perhatian mata dan hati untuk merasainya. Sedap atau tidak sedap
hanya dapat dipastikan apabila kita memakannya. Sedap bukanlah sesuatu yang
nyata atau nampak fizikal, ia hanya perasaan orang yang memakannya. Kecantikan
makanan yang kita lihat belum menjamin kesedapannya.
Mengapa kecantikan itu
penting? Seperti dalam contoh makanan di atas, ‘cantik’ itu penting untuk
menarik perhatian. Tujuan menarik perhatian adalah untuk membuka ruang
perhubungan. Melalui hubungan ini, maklumat boleh disampaikan dengan lebih
berkesan. Ia terpakai dalam apa sahaja situasi.
Perhatian pula bersifat
khusus, jika kita ingin menarik perhatian seorang professor, kita perlu
menunjukkan keupayaan mentafsir maklumat yang menjadi minatnya. Bagi seorang
pereka fesyen, cara kita berpakaian sudah cukup untuk menarik minatnya. Apa
sahaja yang menarik minat, itu pun dah cukup cantik bagi seseorang.
Apa yang pasti, kecantikan
bukan sekadar sifat luaran. Ia adalah apa sahaja yang menarik minat dan membuka
ruang perhubungan atas rasa selesa. Perkataan, perbuatan, penampilan, riak muka
dan sebagainya adalah cantik sekiranya ia mampu menarik perhatian. Jadi,
kecantikan itu akan menonjolkan niat dan perhatian yang dicari oleh seseorang,
seperti isyarat untuk orang lain.
Apakah kecantikan sebenar?
Sekadar pandangan, kecantikan sebenar adalah kecantikan yang menepati fitrah.
Tidak terlalu menonjol, tidak pula menjengkelkan. Sempurna seadanya.
Kesimpulannya, kecantikan diri kita bergantung
kepada diri kita sendiri; minat kita, pengetahuan kita, dan hala tuju hidup
kita sendiri. Kecantikan ini akan membentuk keyakinan kita dan memberi semangat
kepada mereka di sekeliling kita. Malah, ia juga mungkin mampu memberi
inspirasi kepada orang lain juga. Lumrah manusia secara fitrahnya, suka akan
kecantikan hinggakan ada segolongan manusia yang memanipulasi makna kecantikan
sehingga memudaratkan manusia lain untuk mendapat keuntungan. Bila kita jelas
dan faham kecantikan yang kita perlu, kita pasti tidak akan dapat dipengaruhi
oleh pemanipulasi sebegini. Aku Rasa Cantik, adalah rasa kita kerana kita
menyedari apa yang cantik disebalik apa yang kita lihat atau dengar. Jangan
tertipu dengan kecantikan yang dibuat-buat hanya untuk keuntungan sementara
tapi merosakkan.
Hang Nadim adalah pemilik dan pengarang utama Aku Rasa Cantik, berkongsi ilmu dan pandangan di dunia siber sejak 2005, meminati seni akhlak dan pemikiran positif.
|
0 komen:
Post a Comment