Tuesday, 26 March 2013

Membuka Fitrah Kreativiti

Filled under: ,


Tiada definisi yang tepat dalam memaknakan kreativiti.Walaupun pemahaman dan pemikiran 'kreativiti' itu sudah lama dibincangkan dan dibahaskan tetapi masih ramai penyelidik dan tokoh akademik cuba mengemukakan konsep yang asli berdasarkan pemerhatian, pengalaman, kajian dan latar disiplin ilmu yang mereka miliki. Sederhananya kreativiti bukanlah suatu konsep yang bersifat konseptual dan teoritikal. Namun yang pasti menurut de Bono (1970), kreativiti itu memang berlaku tanpa disedari oleh manusia itu sendiri. Lantaran itu, sehingga kini terdapat ribuan maksud berkenaan kreativiti dan kesemuanya dapat disimpulkan sebagai berikut (Hassan, 1989) dan (Nik Azis, 1994); “Terminologi kreatif berasal daripada perkataan Latin ‘creare’ yang bermaksud ‘membuat’ (to make). Manakala dalam bahasa Greek pula, ‘Krainein’ yang membawa makna ‘memenuhi’. Dalam bahasa Inggeris ‘create’ atau ‘cipta’ dalam bahasa Melayu.” Bagaimanapun, konsep kreatif dan kreativiti amat luas dan tidak rigid berdasarkan ruang, tempat dan masa. Malah, konsep kreativiti boleh dilihat dalam pelbagai sudut berdasarkan latar belakang seseorang seperti ahli agama, arkitek, peniaga, doktor, pemandu bas, ahli akademik, ahli politik dan sebagainya. Malah menurut Leong (2000), sesetengah sarjana yang liberal mentafsirkan; “People who copy concepts and ideas,” sebagai memenuhi ciri-ciri kreatif. Ringkasnya, istilah kreativiti digunakan bagi menggambarkan produk sosial yang dihasilkan.
 
Dalam konteks realiti, kreativiti masih belum benar-benar dimasyarakatkan. Apatah lagi untuk membumikannya dalam budaya masyarakat Malaysia. Namun ia bukanlah sesuatu yang mustahil untuk dipraktikkan. Cara terbaik untuk melaksanakannya adalah menyuburkan budaya kreativiti dalam apa jua lapangan hidup dan kehidupan. Cabaran dan agenda abad ke-21 kini bukan hanya mengembalikan "nature" yang telah diragut oleh kerakusan manusia,tetapi lebih untuk membina "survival" yang semakin rumit dan kompleks.Oleh itu,  idea-idea pada zaman kontemporari kini banyak memerlukan kepada percambahan kreativiti manusia terutamanya dalam arus teknologi komunikasi maklumat. Budaya kreativiti perlu diletakkan sebaris dengan budaya membaca, budaya ilmu, budaya sains dan sastera. Kreativiti tidak boleh lagi dianggap sebagai milik saintis dan  individu yang memiliki sijil universiti dalam bidang sains dan teknikal semata. Oleh yang demikian budaya kreativiti ini haruslah dijadikan satu manifestasi oleh setiap orang dan diberi penekanan yang menyeluruh diberikan sewaktu peringkat kecil lagi.

Kreativiti adalah pemikiran yang menerbitkan idea iaitu berlawanan dengan pemikiran kritis yang membuat penilaian ke atas sesuatu idea. Idea yang diterbitkan bersifat baru dan kadang-kadang berlawanan dengan logik. Namun, kreativiti mestilah berasaskan manipulasi segala pengalaman dan pengetahuan yang sedia ada. Menerusi pengalaman dan pengetahuan yang dimilikinya, seseorang itu akan berusaha mencari pelbagai input idea dalam pelbagai perspektif dan dimensi bagi mewujudkan idea atau hasil yang baru yang lebih baik daripada sebelumnya dalam membuat keputusan dan menyelesaikan masalah. Kesimpulannya, fitrah kreativiti itu mampu dibuka seandainya manusia mampu mengenal, memahami dan membaca alam ini dengan memanfaatkan pendengaran, penglihatan dan hati yang dimilikinya. Ibarat mengenal Tuhan sebagai "Khalaq" iaitu dengan memahami "Khalaq"  sebagai "yang Menciptakan" segenap alam semesta dan membaca apa "yang Menciptakan"  alam itu pastilah datangnya dari yang Maha Kreatif dan sangat luas pengetahuan Nya..(Al-Alaq:1)


Rujukan :
1. Apa itu Kreativiti? (Blog Muassasah Ad-Diniyyah )
2. Kreativiti, Invensyen dan Inovasi (Mohd. Azhar, Sanitah, Esa Khalid, Othman), Universiti Teknologi Malaysia




Zaaba Farisi adalah pemilik dan pengarang utama Blog Merantau, berkongsi ilmu di dunia siber sejak 2007, meminati seni berblog dan mencintai ilmu dan penyelidikan.

Hubungi Zaaba Farisi di  zaabafarisi@gmail.com.

0 komen:

Post a Comment